Rabu, Disember 15, 2010

MENGENAL DIRI - BAH 1

Engkau dan Aku

Kalau engkau hendak menemui aku
Turutilah jalan ku jangan jalanmu
Jalanmu jalan nyata
Jalan ku jalan rasa

Berjalanlah engkau pada jalanmu
Dan aku akan berjalan pula pada jalanku
Ushakan kita sejalan, engkau dan aku
Supaya tercapai yang di tuju

Kalau engkau mengatakan kita sejalan
Engkau harus dapat membuktikan
Bukti yang dimaksudkan
Ialah kesanggupan untuk menurutkan.

Engkau mempunyai keinginan
Aku mempunyai kesanggupan
Engkau di luar aku di dalam
Tempat mu di kiri aku di kanan

Berjalanlah engkau pada jalanmu
Untuk menjumpai aku lebih dahulu
Dalam perjalanan kita bertemu
Engkau dan aku

Aku yang engkau jumpai diperjalanan
Tidak akan engkau perdapat, kalau engkau tak tukar haluan
Kerana disaat itu aku keluar engkau ke dalam
Dan untuk mendapat aku, jalanku yang akan di turutkan

Berjalan pada jalanku
Berarti engkau besertaku
Dengan jalan itu engkau akan dapat mengenal aku
Aku yang selama ini terahsia bagi mu.


Bila kita membicarakan "ILMU MENGENAL DIRI" tentu ramai dari kita yang akan menyangka bahawa yang akan dibicarakan ialah Diri yang kelihatan iaitu jasad kasar kita ini atau yang dikenali dengan panggilan Badan, tapi sebenarnya tidak. Diri yang dimaksudkan itu ialah Diri Sebenar Diri, yang duduknya di dalam Jasad atau badan kasar kita ini. Untuk itu kita haruslah memahami yang mana jasmani dan yang mana rohani, yang mana diri terdiri dan diri terperi, yang mana jiwa dan yang mana raga dan yang selalu jadi sebutan orang ya itu yang mana zahir dan yang mana batin. Kita harus nya faham perbezaan dua kata kata ini, sebelum kita lafaskannya.

Jasmani tentunya berbeza dari Rohani, Jiwa berbeza dari Raga dan pastinya zahir berbeza dari batin. Jika tidak mengapa ada dua perkataan tersebut yang sentiasa menjadi sebutan kita?

Kita semua tahu dan selalu menyebut akan kalimah ini, tapi tahukah kita perbezaan antara keduanya? Perbezaan inilah yang ramai antara kita tidak dapat menerangkan dengan jelas apa lagi untuk dapat merasakan perbezaannya.

Kebanyakkan dari kita berangapan bahawa jasad kasar kita ini atau badan kita inilah dipanggil "Diri" dan dapat hidup sendiri-sendiri, tetapi sebenarnya Jasad atau Badan kasar kita ini yang kita jaga dan perindahkan ini, sebenarnya ialah benda mati, yang tidak dapat berbuat apa-apa jika tidak ada "Penghidupnya" yang duduknya di dalam jasad itu sendiri. Penghidup inilah yang dipanggil Diri Sebenar Diri. Diri yang berdiri dengan sendiri dan yang ujud apabila Roh memasuki Jasad. Oleh itu fahamlah kita bahawa Diri sebenar Diri ujud sesudah Roh berada di dalam Jasad.

Perlulah di ketahui bahawa kita ini secara amnya terbahagi kepada 2, iaitu yang dipanggil Jasmani (Jasad) dan Rohani. Atau ada juga orang memanggil Jiwa dan Raga dan banyak lagi nama-nama yang diberi kepada Diri dan jasad untuk mudah difahami dan mengikut perguruan tertentu.


Renung kembali kesah ujudnya Adam

Setelah Malaikat menyiapkan Jasad Adam dan Jasad Adam terbaring kaku, maka Allah pun memerintahkan Roh untuk masuk ke dalam Jasad Adam, dan bertanyalah akan Roh kepada Allah "Ya Allah melalui jalan mana harus aku masuk?" maka Allah pun menjawab, "Masuklah melalui mana-mana yang kau senangi" dan seterusnya Roh memasuki Jasad Adam melalui Hidung. Dan seterusnya kita bernafas melalui hidung.

Jadi di sini dapatlah kita fahami bahawa bila Roh masuk ke dalam jasad Adam, barulah Adam hidup dan seterusnya bangun dan berdiri. Ini jelas menunjukkan bila Roh masuk ke dalam Jasad barulah Jasad hidup atau juga di panggil Bernyawa.


Diri sebenar Diri
Diri sebenar Diri
Setelah Roh memasuki Jasad, baharulah ujudnya "Diri" atau jelasnya "Diri" ini mendatang kemudian setelah Roh memasuki jasad.

Keterangan ringkasnya ialah, Roh itu adalah Cahaya dan bila ia memasuki jasad maka cahaya tadi memenuhi ruang jasad di dalam dan akan menjadi seperti jasadnya sendiri. Maka dengan sebab inilah "Diri" itu rupanya sama dengan jasadnya sendiri, tapi ianya ghaib. Dan harus diingat hanya yang ghaib sahaja dapat menghubungi yang ghaib.

Cahaya (Diri) tadi mengalir ke seluruh jasad di dalam, dan dialah yang menjadi "Penghidup" kepada Jasad. Dialah hidup sebenar-benar hidup, lagi menghidupkan.


BARANG SIAPA MENGENAL DIRINYA NESCAYA KENALLAH IA AKAN TUHANNYA

Seperti yang telah diterangkan di atas Diri ini rupanya seperti kita cuma ianya
ghaib dan duduknya di dalam jasad kasar kita ini, dan tugasnya menghidupkan jasad kita dan dia juga dipanggil nyawa dan macam-macam nama lagi mengikut Aliran Perguruan yang mengajar Ilmu Mengenal Diri ini. Walau bagaimanapun perlu ditegaskan di sini semua Aliran Perguruan adalah benar dan mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri.

Inilah Diri Sebenar Diri yang harus dikenal dengan rasa dan perasaan, dan dengan geraknya yang tersendiri. Bagaimanakah cara untuk mengenalnya?

Diri sebenar Diri yang duduknya dalam jasad itu, di mana tugasnya menghidupkan jasad, dengan cara mengalirkan pancaran cahaya kehidupan di dalam jasad, dan kalau ingin mengenalnya dengan erti kata kenal sebenar-benar kenal tentulah kita perlu melahirkan Diri itu.

Kelahiran pertama kita ialah bila Ibu kita melahirkan kita, dan kelahiran kali kedua ialah bila kita berjaya melahirkan Diri Sebenar Diri yang diamnya di dalam jasad kita sendiri dan dengan tugas dan rahsianya yang tersendiri... menghidupkan kita, tapi sayang jasad tidak pernah terfikir untuk memikirkan siapakah yang menghidupkannya.

Dengan itu kenalilah Diri sebenar Diri kita itu. Diri yang banyak daya guna dan banyak menyimpan rahsia. Bukankah dia berasal dari sana... dari Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Besar.

Untuk itu lahirkanlah Diri Sebenar Diri, yang maksudnya dengan membuka pintu baginya untuk keluar, (jalannya) dan cara melahirkannya ada 3:

1. Terbuka Sendiri.

2. Membuka dengan Sendiri.

3. Dibukakan oleh Guru yang Berpengalaman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan